Saturday 11 January 2014

Wajarkah Cuti Hari Jumaat

SAYA terpanggil untuk mengulas ura-ura Kerajaan Negeri Johor yang akan mengembalikan cuti umum negeri itu kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula Januari 2014.

Sebagai anak Johor yang menetap di perantauan yang cuti umumnya jatuh pada hari Jumaat, saya ingin berkongsi sedikit pandangan untuk diperhalusi oleh pihak Istana khususnya dan Kerajaan Johor amnya agar langkah penukaran cuti ini tidak mendatangkan impak yang lebih negatif dan sebaiknya ditimbang sedalam-dalamnya sebelum keputusan muktamad dilakukan.
Bimbang-bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Pengalaman menetap di negeri Kedah yang menjadikan cuti umumnya hari Jumaat menyaksikan banyak kawasan riadah seperti air terjun, kompleks membeli belah dan zon bebas cukai Langkawi serta Pekan Danok di Thailand akan dipenuhi oleh kaum hawa yang ditemani oleh suami atau pasangan lelaki mereka.

Sebagai penghulu hari, cuti ini sering dijadikan peluang untuk melakukan aktiviti kekeluargaan yang menyebabkan solat Jumaat diabaikan.

Sepanjang bersolat Jumaat pula, diperhatikan banyak masjid kebiasaannya hanya dipenuhi golongan tua yang lanjut usia atau golongan berpencen biasanya datang awal. 

Golongan lelaki yang bercuti tetap datang lewat. Peluang cuti ini tidak menjadi sebab untuk mereka mengambil kesempatan memenuhi dan melaksanakan ibadah sesuai dengan hari berkenaan.

Malah di kampung-kampung, masih ramai yang menoreh getah dan membuat kerja kampung seperti biasa pada hari Jumaat.

Adalah menjadi kebiasaan cuti umum biasanya amat sesuai dianjurkan majlis keraian seperti kenduri perkahwinan dan sebagainya.

Malangnya ini tidak berlaku di Kedah dan solat Jumaat menjadi penghalang kepada tuan rumah merancang kenduri perkahwinan atau majlis keraian lain. 

Kebanyakan mereka melaksanakan majlis berkenaan pada hari Sabtu sahaja. Jumaat menjadi hari yang sepi dan amat kurang atau tiada keutamaan untuk program-program seperti dinyatakan. 

Kebiasaannya cuti sekolah yang panjang akan dijadikan masa mengadakan kenduri dan sebagainya.

Walaupun Jumaat adalah 'penghulu segala hari' Allah SWT tidak melarang aktiviti bekerja dengan jelas melalui Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk kamu menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al Jumu'at ayat 9).

Jika diperhalusi, mereka yang bekerja pada hari itu sekalipun berniaga adalah dikira sebagai ibadah dan mencari rezeki.

Mengambil kira keadaan di atas, maka bagaimana nanti jika ada pasangan suami isteri yang bekerja di sektor swasta dan cuti umumnya kekal pada hari Sabtu dan Ahad?

Ini belum termasuk beribu-ribu warga Johor yang bekerja di Singapura dan tetap kekal cuti pada Sabtu dan Ahad. Saya fikir akan berlaku berbagai konflik yang merumitkan suasana kekeluargaan dan menjejaskan banyak perancangan.

Saya juga difahamkan sejak pelaksanaan hari Jumaat sebagai hari bekerja, banyak pengisian aktiviti keagamaan dilaksanakan di sektor kerajaan dengan majlis tadarus, penghayatan ilmu dan berbagai lagi aktiviti keagamaan.

Malah pegawai-pegawai kerajaan juga segak mengenakan baju Melayu lengkap bersamping setiap hari Jumaat.

Ada juga pegawai-pegawai kerajaan yang bukan Islam yang turut mengenakan baju kurung dan baju Melayu pada hari berkenaan.

Persoalannya, apakah semua aktiviti ini akan mampu dilaksanakan apabila kerajaan Johor menukar cutinya pada hari Jumaat.

Pandangan peribadi saya, semua aktiviti yang teratur sebagai pengisian pada hari Jumaat hampir pasti akan hilang dan peluang kakitangan mengisi jadual tidak akan berlaku seperti yang sedang berlaku sekarang.

Justeru sebagai langkah terbaik, adalah dicadangkan supaya Kerajaan Johor membuat bancian dan pungutan suara dari warga sektor awam terlebih dahulu untuk memastikan ianya mendapat sokongan padu dan dilaksanakan dengan kehendak ramai.

Insya-Allah jika mereka sendiri bersetuju untuk menukar cuti kepada hari Jumaat maka pasti tidak akan timbul pelbagai rungutan dan penyesalan yang menjadikan isu ini berbangkit dengan memakan diri kepada kepemimpinan baharu di Johor.

Kesan Pertukaran Cuti Hari Rehat Daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu di Negeri Johor

Mulai 1 Jan 2014, cuti hujung minggu (Hari Rehat) pekerja yang bekerja dengan kerajaan dan badan berkanun di Negeri Johor Darul Ta'zim akan bertukar daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu atas beberapa sebab antara lain bagi memudahkan umat Islam di Negeri Johor untuk menunaikan ibadah Solat Jumaat.

Antara yang terlibat adalah, Pekerja Pos, Hospital, Majlis Daerah, sekolah sekolah dan yang seangkatan dengannya. Bagi pekerja swasta, mereka tidak tertakluk kepada pekeliliang baru yang telah di umumkan oleh Sultan Johor itu.

Ada baik dan ada buruknya. Baiknya adalah memudahkan mereka yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah Solah Jumaat. Selain itu, bagi mereka yang mempunyai anak lelaki, juga boleh membawa bersama akan mereka untuk menunaikan solat juga.

Sebenarnya tidak banyak kebaikan yang boleh kita lihat dengan penukaran hari rehat ini. Mungkin ianya memberi kebaikan kepada;
1. pekerja kerajaan sahaja,
2. pekerja yang telah berkahwin dan mempunya pasangan yang bekerja dengan kerajaan juga,
3. pekerja swasta yang telah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak atau anak masih belum bersekolah,
4. serta pekerja kerajaan yang mempunyai pasangan yang juga terdiri dari pekerja kerajaan serta mempunyai anak yang bersekolah

Manakala mereka yang tidak menerima apa apa manfaat atau terbeban dengan pertukaran hari rehat ini adalah;
1. pekerja swasta
2. pekerja swasta yang berkahwin dengan pasangan yang terdiri dari pekerja kerajaan
3. pekerja swasta yang berkahwin dengan pasangan yang terdiri dari pekerja swasta serta mempunyai anak yang bersekolah .


Cuba kita bayangkan, seorang yang pekerja swasta yang berkahwin dengan pasangan yang terdiri dari pekerja kerajaan atau pekerja swasta yang berkahwin dengan pasangan yang terdiri dari pekerja kerajaan atau pekerja swasta yang berkahwin dengan pasangan yang terdiri dari pekerja swasta serta mempunyai anak yang bersekolah.



Sila perhatikan analisa bodoh yang saya buat seperti dibawah;


Sektor PekerjaanKhamisJumaatSabtuAhadIsnin
Suami Supervisor Kilang KerjaKerja½ HariCutiKerja
Isteri GuruKerjaCutiCutiKerjaKerja
Anak Darjah satuSekolahCutiCutiSekolahKerja

Hari yang membolehkan ayah, ibu serta anaknya berkumpul adalah hari sabtu. Itupun sekiranya ayahnya bekerja 5.5 hari seminggu. Lebih malang lagi, bagi mereka yang bekerja 6 hari seminggu.

Seperti mana yang kita tahu, tahun 2014 adalah tahun melawat Malaysia. Johor juga tidak kurang tempat tempat yang menarik untuk dilawati. Tapi, kalau kita sendiri tak ada masa untuk berjalan bersama keluarga, macam mana kami rakyat Johor yang terpinggir ini untuk bersama sama menjayakan kempen tahun melawat Malaysia? Mungkin negeri Johor tidak terlalu bergantung kepada pekerja swasta kerana jumlah pekerja kerajaan terlebih ramai jika dibandingkan dengan pekerja swasta serta pelancong dari seberang tambak yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi. emm

Sepatutnya mereka yang berada didalam pentadbiran negeri menyedari perkara ini sebelum membuat keputusan seperti ini.. pun kena memikirkan implikasi kepada rakyat secara keseluruhannya. Apapun, keputusan telah dibuat dan diumumkan. menarik balik keputusan yang telah diumumkan adalah sesuatu yang mustahil. Apa yang boleh dibuat adalah menyamakan cuti antara swasta dan kerajaan. Perlaksanaan (wajib) perlu di wartakan kepada semua organisasi yang berada di Johor..

Sebagai seorang rakyat Johor, yang membayar cukai (cukai Tanah, cukai pintu, cukai pendapatan, cukai perniagaan, cukai perkhidmatan, tol, tidak ketinggalan zakat pendapatan dan pelbagai jenis cukai dari zaman kesultanan ke era penjajahan seterusnya zaman merdeka), kami memohon mereka yang terlibat, mungkin Menteri Besar Johor untuk memandang semula isu ini dengan telus.

Boleh?