SAYA terpanggil untuk mengulas ura-ura Kerajaan
Negeri Johor yang akan mengembalikan cuti umum negeri itu kepada hari
Jumaat dan Sabtu bermula Januari 2014.
Sebagai anak Johor yang menetap di perantauan yang cuti umumnya jatuh
pada hari Jumaat, saya ingin berkongsi sedikit pandangan untuk
diperhalusi oleh pihak Istana khususnya dan Kerajaan Johor amnya agar
langkah penukaran cuti ini tidak mendatangkan impak yang lebih negatif
dan sebaiknya ditimbang sedalam-dalamnya sebelum keputusan muktamad
dilakukan.
Bimbang-bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
Pengalaman menetap di negeri Kedah yang menjadikan cuti umumnya hari
Jumaat menyaksikan banyak kawasan riadah seperti air terjun, kompleks
membeli belah dan zon bebas cukai Langkawi serta Pekan Danok di Thailand
akan dipenuhi oleh kaum hawa yang ditemani oleh suami atau pasangan
lelaki mereka.
Sebagai penghulu hari, cuti ini sering dijadikan peluang untuk
melakukan aktiviti kekeluargaan yang menyebabkan solat Jumaat diabaikan.
Sepanjang bersolat Jumaat pula, diperhatikan banyak masjid
kebiasaannya hanya dipenuhi golongan tua yang lanjut usia atau golongan
berpencen biasanya datang awal.
Golongan lelaki yang bercuti tetap datang lewat. Peluang cuti ini
tidak menjadi sebab untuk mereka mengambil kesempatan memenuhi dan
melaksanakan ibadah sesuai dengan hari berkenaan.
Malah di kampung-kampung, masih ramai yang menoreh getah dan membuat kerja kampung seperti biasa pada hari Jumaat.
Adalah menjadi kebiasaan cuti umum biasanya amat sesuai dianjurkan majlis keraian seperti kenduri perkahwinan dan sebagainya.
Malangnya ini tidak berlaku di Kedah dan solat Jumaat menjadi
penghalang kepada tuan rumah merancang kenduri perkahwinan atau majlis
keraian lain.
Kebanyakan mereka melaksanakan majlis berkenaan pada hari Sabtu
sahaja. Jumaat menjadi hari yang sepi dan amat kurang atau tiada
keutamaan untuk program-program seperti dinyatakan.
Kebiasaannya cuti sekolah yang panjang akan dijadikan masa mengadakan kenduri dan sebagainya.
Walaupun Jumaat adalah 'penghulu segala hari' Allah SWT tidak
melarang aktiviti bekerja dengan jelas melalui Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk kamu
menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada
mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itulah lebih
baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al Jumu'at ayat 9).
Jika diperhalusi, mereka yang bekerja pada hari itu sekalipun berniaga adalah dikira sebagai ibadah dan mencari rezeki.
Mengambil kira keadaan di atas, maka bagaimana nanti jika ada
pasangan suami isteri yang bekerja di sektor swasta dan cuti umumnya
kekal pada hari Sabtu dan Ahad?
Ini belum termasuk beribu-ribu warga Johor yang bekerja di Singapura
dan tetap kekal cuti pada Sabtu dan Ahad. Saya fikir akan berlaku
berbagai konflik yang merumitkan suasana kekeluargaan dan menjejaskan
banyak perancangan.
Saya juga difahamkan sejak pelaksanaan hari Jumaat sebagai hari
bekerja, banyak pengisian aktiviti keagamaan dilaksanakan di sektor
kerajaan dengan majlis tadarus, penghayatan ilmu dan berbagai lagi
aktiviti keagamaan.
Malah pegawai-pegawai kerajaan juga segak mengenakan baju Melayu lengkap bersamping setiap hari Jumaat.
Ada juga pegawai-pegawai kerajaan yang bukan Islam yang turut mengenakan baju kurung dan baju Melayu pada hari berkenaan.
Persoalannya, apakah semua aktiviti ini akan mampu dilaksanakan apabila kerajaan Johor menukar cutinya pada hari Jumaat.
Pandangan peribadi saya, semua aktiviti yang teratur sebagai
pengisian pada hari Jumaat hampir pasti akan hilang dan peluang
kakitangan mengisi jadual tidak akan berlaku seperti yang sedang berlaku
sekarang.
Justeru sebagai langkah terbaik, adalah dicadangkan supaya Kerajaan
Johor membuat bancian dan pungutan suara dari warga sektor awam terlebih
dahulu untuk memastikan ianya mendapat sokongan padu dan dilaksanakan
dengan kehendak ramai.
Insya-Allah jika mereka sendiri bersetuju untuk menukar cuti kepada
hari Jumaat maka pasti tidak akan timbul pelbagai rungutan dan
penyesalan yang menjadikan isu ini berbangkit dengan memakan diri kepada
kepemimpinan baharu di Johor.
No comments:
Post a Comment