Saturday 11 January 2014

Wajarkah Cuti Hari Jumaat

SAYA terpanggil untuk mengulas ura-ura Kerajaan Negeri Johor yang akan mengembalikan cuti umum negeri itu kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula Januari 2014.

Sebagai anak Johor yang menetap di perantauan yang cuti umumnya jatuh pada hari Jumaat, saya ingin berkongsi sedikit pandangan untuk diperhalusi oleh pihak Istana khususnya dan Kerajaan Johor amnya agar langkah penukaran cuti ini tidak mendatangkan impak yang lebih negatif dan sebaiknya ditimbang sedalam-dalamnya sebelum keputusan muktamad dilakukan.
Bimbang-bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Pengalaman menetap di negeri Kedah yang menjadikan cuti umumnya hari Jumaat menyaksikan banyak kawasan riadah seperti air terjun, kompleks membeli belah dan zon bebas cukai Langkawi serta Pekan Danok di Thailand akan dipenuhi oleh kaum hawa yang ditemani oleh suami atau pasangan lelaki mereka.

Sebagai penghulu hari, cuti ini sering dijadikan peluang untuk melakukan aktiviti kekeluargaan yang menyebabkan solat Jumaat diabaikan.

Sepanjang bersolat Jumaat pula, diperhatikan banyak masjid kebiasaannya hanya dipenuhi golongan tua yang lanjut usia atau golongan berpencen biasanya datang awal. 

Golongan lelaki yang bercuti tetap datang lewat. Peluang cuti ini tidak menjadi sebab untuk mereka mengambil kesempatan memenuhi dan melaksanakan ibadah sesuai dengan hari berkenaan.

Malah di kampung-kampung, masih ramai yang menoreh getah dan membuat kerja kampung seperti biasa pada hari Jumaat.

Adalah menjadi kebiasaan cuti umum biasanya amat sesuai dianjurkan majlis keraian seperti kenduri perkahwinan dan sebagainya.

Malangnya ini tidak berlaku di Kedah dan solat Jumaat menjadi penghalang kepada tuan rumah merancang kenduri perkahwinan atau majlis keraian lain. 

Kebanyakan mereka melaksanakan majlis berkenaan pada hari Sabtu sahaja. Jumaat menjadi hari yang sepi dan amat kurang atau tiada keutamaan untuk program-program seperti dinyatakan. 

Kebiasaannya cuti sekolah yang panjang akan dijadikan masa mengadakan kenduri dan sebagainya.

Walaupun Jumaat adalah 'penghulu segala hari' Allah SWT tidak melarang aktiviti bekerja dengan jelas melalui Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk kamu menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al Jumu'at ayat 9).

Jika diperhalusi, mereka yang bekerja pada hari itu sekalipun berniaga adalah dikira sebagai ibadah dan mencari rezeki.

Mengambil kira keadaan di atas, maka bagaimana nanti jika ada pasangan suami isteri yang bekerja di sektor swasta dan cuti umumnya kekal pada hari Sabtu dan Ahad?

Ini belum termasuk beribu-ribu warga Johor yang bekerja di Singapura dan tetap kekal cuti pada Sabtu dan Ahad. Saya fikir akan berlaku berbagai konflik yang merumitkan suasana kekeluargaan dan menjejaskan banyak perancangan.

Saya juga difahamkan sejak pelaksanaan hari Jumaat sebagai hari bekerja, banyak pengisian aktiviti keagamaan dilaksanakan di sektor kerajaan dengan majlis tadarus, penghayatan ilmu dan berbagai lagi aktiviti keagamaan.

Malah pegawai-pegawai kerajaan juga segak mengenakan baju Melayu lengkap bersamping setiap hari Jumaat.

Ada juga pegawai-pegawai kerajaan yang bukan Islam yang turut mengenakan baju kurung dan baju Melayu pada hari berkenaan.

Persoalannya, apakah semua aktiviti ini akan mampu dilaksanakan apabila kerajaan Johor menukar cutinya pada hari Jumaat.

Pandangan peribadi saya, semua aktiviti yang teratur sebagai pengisian pada hari Jumaat hampir pasti akan hilang dan peluang kakitangan mengisi jadual tidak akan berlaku seperti yang sedang berlaku sekarang.

Justeru sebagai langkah terbaik, adalah dicadangkan supaya Kerajaan Johor membuat bancian dan pungutan suara dari warga sektor awam terlebih dahulu untuk memastikan ianya mendapat sokongan padu dan dilaksanakan dengan kehendak ramai.

Insya-Allah jika mereka sendiri bersetuju untuk menukar cuti kepada hari Jumaat maka pasti tidak akan timbul pelbagai rungutan dan penyesalan yang menjadikan isu ini berbangkit dengan memakan diri kepada kepemimpinan baharu di Johor.

No comments:

Post a Comment